Daie & Syaitan

Bahaya dan pesona yang menjadi pangkal segala bencana dan penyelewengan ialah tipudaya syaitan, putar belit iblis dan karenah hawa nafsu.

Pendakwah akan tetap selamat walau dihalang luaran dari segi sosial, politik, ekonomi dan lain-lain yang dihadapinya, selagimana daie itu tidak menyerah kepada nafsu dan melutut kepada kehandak syaitan.

Ingatkah kita kepada sumpah syaitan?


Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus; "Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". Allah berfirman: "Keluarlah Engkau dari syurga sebagai makhluk Yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka Yang menurutmu, tetaplah Aku akan memenuhi neraka jahanam Dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;

[Al-A'raf: 16-18]

Kerana sumpah inilah kita mesti berwaspada terhadap setan melebihi dari musuh-musuh kita yang lain.


Firman Allah Ta'ala:


Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka Jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya Dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

[Faatir: 6]

Allah s.w.t. berfirman lagi:


"Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh Yang nyata terhadap kamu! "Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan Yang lurus."Dan Sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan Yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?

[Yaasin: 60-62]

Celakanya syaitan ni, kalau tak lepas rasuk, pujuk dan timbulkan gelisah dari satu sudut, maka ia mencelah dari sudut lain pula. Macamni la kerja-kerja penuh bakat enche Setan ni.

Memang benarlah sabda Rasulullah s.a.w:


Sesungguhnya syaitan itu meresap dalam diri anak Adam persis seperti mengalirnya darah dalam tubuhnya. [muttafaqun A'laihi]


Adakah syaitan itu tidur? Kalau syaitan itu tidur, nescaya kita semua boleh berehat.

Pernah kita dengar kisah tentang seorang rahib Bani Israil, diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w. Sabda Baginda:

Suatu masa ada seorang perndeta Bani Israil. Syaitan hendak merosakkannya lalu syaitan merasuk seorang anak gadis. Syaitan mengilhamkan kepada keluarganya bahawa anak gadis ini hanya boleh disembuhkan oleh pendeta tersebut sahaja. Keluarga anak gadis tersebut pun membawanya ke rumah pendeta. Pada mulanya pendeta enggan membenarkan anak gadis itu tinggal di rumahnya untuk berubat. Tetapi setelah didesak oleh keluarga anak gadis tersebut, dia pun bersetuju. Dalam tempoh berubat, syaitan berjaya memujuknya supaya mendekati anak gadis yang sakit itu. Akhirnya dengan godaan syaitan itu sampai bersetubuh dengan anak gadis itu hingga hamil. Sejak itu syaitan pun menimbulkan rasa takut dalam diri pendeta itu. Ia berbisik "Nanti bila datang keluarganya pasti rahsiamu akan diketahui. Baik engkau bunuh sahaja perempuan itu, dan kalau keluarganya datang, katakan dia sudah mati." Dia pun menurut hasutan syaitan. Dia segera membunuh anak gadis tersebut dan menanam mayatnya. Selepas itu syaitan pergi menimbukan syak dan ragu kepada keluarga gadis. Ia membayangkan kepada mereka bahawa pendeta telah merogol, menghamilkan dan membunuh anak tersebut, kemudian menanam mayatnya. Apabila keluarganya datang, mereka tidak percaya dengan cakap dan dalih pendeta. Mereka akhirnya membuktikan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh pendeta itu. Dalam itu, syaitan menjelma dan menemui pendeta. Syaitan berkata: "Aku yang telah merasuk anak gadis itu. Akulah yang membisikkan kepada keluarganya. Kalau engkau mahu selamat, engkau ikut perintahku. Aku akan melepaskan engkau dari tindakan mereka" "Bagaimana?", kata pendeta itu. Jawab syaitan: "Engkau sujud kepadaku dua kali." Pendeta pun sujud kepada syaitan. Apabila dia sujud syaitan pun berkata: "Aku melepas diri dari kejahatan yang telah engkau lakukan." Orang inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam firmanNya:

(bujukan kaum munafiqin itu adalah) seperti (bujukan) syaitan ketika ia berkata: "kafirlah kamu", justeru tatkala menusia itu telah kafir berkata: "Aku berlepas diri dari kamu kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam"

[Al-hasyr: 16]

0 comments: